Pasangan berlagak petani didapati miliki 1.3g dadah sama

SEGAMAT: Sepasang suami isteri yang berlagak seperti petani moden ditahan apabila menanam tujuh pokok ganja melalui kaedah hidroponik di belakang rumah mereka di Bandar Putra di sini.

Dalam serbuan sepasukan anggota polis dari Cawangan Narkotik Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Segamat, kira-kira jam 11.30 malam Jumaat lalu, pasangan terbabit didapati turut memiliki 1.3 gram dadah jenis sama.

Difahamkan, dadah berkenaan dipercayai hendak digunakan pasangan terbabit untuk pembenihan semula berikutan penemuan tujuh batang pokok ganja yang sudah disemai lebih seminggu lalu.

Ketua Polis Daerah, Superintendan Abdul Majid Mohd Ali, berkata ketika serbuan pihaknya mendapati pokok ganja itu tidak ditanam di dalam pasu sebaliknya disemai di dalam sebuah kotak lut sinar menggunakan kaedah hidroponik yang tidak memerlukan tanah.

Pasangan suami isteri berusia 31 dan 27 tahun itu menjadikan alasan kononnya terpaksa menanam tumbuhan itu untuk melakukan uji kaji dan mendakwa tidak mengetahui pokok yang ditanam itu adalah jenis dadah.

“Kes ini adalah pertama kali berlaku di sini dan ini membuktikan pengedar dadah sekarang melakukan pelbagai taktik bagi mengaburi mata pihak berkuasa,” katanya. Katanya, polis tidak menolak kemungkinan pasangan terbabit menanam ganja itu untuk kegunaan sendiri.

"Siasatan lanjut mendapati tumbuhan terbabit baru ditanam pasangan itu sekitar enam hingga tujuh hari lalu dan mereka juga baru selesai mengasingkan biji benih," katanya.

Beliau berkata, pasangan itu kini ditahan reman dan kes disiasat mengikut Seksyen 6 (B) Akta Dadah Berbahaya 1952 yang membawa hukuman penjara seumur hidup serta enam kali sebatan jika sabit kesalahan.